SELANGOR FC
NEWS AND UPDATES

Peluang terbaik capai kejayaan


Setelah menjalankan beberapa siri jelajah di dalam dan luar negara, skuad futsal lelaki Selangor merasakan ini merupakan peluang terbaik untuk mereka memperoleh kejayaan sekaligus menjadi juara Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2019.

Menurut jurulatih mereka, Addy Sharullyzam, beliau telah mengenal pasti beberapa kelemahan pasukan Selangor.

"Kita akan memperbaiki kelemahan yang telah dikenal pasti dan juga akan membuat penambahbaikan menjelang perlawanan akan datang," ujar Addy.

Tambah Addy lagi, tidak dinafikan liga pada musim ini sedikit mencabar setelah format baru mula diperkenalkan.

Addy menyatakan setiap pasukan haruslah menyediakan diri dengan format baru ini serta perlu meningkatkan lagi kekuatan mental dan fizikal setiap pemain.

Untuk makluman, liga kali ini akan menggunakan format round robin dan setiap pasukan akan bermain di laman sendiri dan juga laman pihak lawan berbanding tahun lalu yang berkonsepkan karnival.

MPFL bakal membuka tirai pada 22 Jun ini dan sebanyak 8 pasukan bakal terlibat bagi kategori lelaki.

Ini juga merupakan saingan liga futsal professional yang julung kalinya dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi meningkatkan lagi kualiti pemain futsal negara.

Skuad Selangor dijadualkan untuk bertemu pasukan Perak pada 23 Jun ini di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam jam 8.30 malam.

Para penyokong pasukan futsal Selangor diseru untuk hadir memberikan sokongan.

Semoga berjaya kami ucapkan kepada pasukan futsal lelaki Selangor dan semoga memperoleh kejayaan.